Friday, April 8, 2011

Benarkah Cinta

Kalaulah benar ada cinta, mengapa masih ramai yang menanti dengan penuh setia akan kehadiran sang putera?mengapa aku masih single?. Semakin aku dewasa pesoalan ini semakin kerap bermain di benak, seolah-olah tiada jawapan. Kalau nak diikutkan rupaku tiada cacat celanya, bolehlah dikatakan menarik, tapi mengapa masih single. Sambil termenung dan melayan perasan yang menjerat diri dengan seribu persoalan, aku masih tiada jawapan yang pasti. Akhirnya, aku mengalah dan segera melelapkan mata.

Kelas Public International Law pagi itu bosan seperti biasa, aku tidak pernah faham akan ajaran pensyarah dan seperti biasa setelah menandatangani kehadiran, aku segera mengangkat kaki dan beredar ke luar BK 6 untuk online mencari aplikasi dan game terbaru untuk telefon HTC Desire HD milikku. Menjadi single memang bukan keinginan tapi aku tidak pernah bersedia untuk menjadikan kawan-kawan lelakiku sebagai seorang yang istimewa dalam hidupku. Persoalan mengenai masih single bermain di benakku sejak kebelakangan ini. Setelah menyambut hari lahir yang ke-21, aku bertambah runsing dengan persoalan yang aku kira remeh ini. Kalau nak diikutkan dengan pekerjaan sebagai peguam kelak, aku mampu hidup berdikari, tapi kerana stigma masyarakat yang memandang rendah wanita yang tidak berkahwin membuatkan aku pening. Ini semua ditambah pula dengan salah seorang ahli keluargaku yang masih belum berumah tangga dan aku kasihan melihatnya yang sering bersendirian dalam menyelesaikan konflik hidup. Sedang aku bermonolog sendiri tiba-tiba ada seorang senior menegur

`Oi, tuang kelas ke? ‘selamba sahaja dia menanyakan soalan itu

Aku yang malu kerana kantoi pula hanya senyum dan buat-buat tak dengar. Segera aku pergi meninggalkan abang itu dan masuk semula ke kelas, sambil mencarut di dalam hati kerana terbantut keinginanku untuk memuat turun aplikasi terkini. Belajar di fakulti undang-undang membuatkan mahasiswa yang masih single semakin tersepit hendak mencari pasangan hidup. Daripada 90 orang, kami hanya memiliki suku lelaki dengan hanya 5 daripadanya lelaki Melayu. Tambahan pula, kebanyakan daripada mereka bukanlah lelaki sejati, semakin menyampah aku memikirkan semua ini.

`Oh, habislah aku jadi andartu nanti’

`Hai, jodohkan rahsia Allah, kau sabar boleh tak?’

`Kau cakap senanglah sebab kau dah ada, kau takkan fahamlah, Yus. Sejak akhir-akhir ni aku risau pasal status aku ni’

`Relakslah Madi, umur kau baru 21 tahun, kau ada lagi 3 tahun nak fikirkan benda ini, aku ni pun bukan tentu lagi dapat kat si Faizal tu, manalah tau putus di tengah jalan’

`Menyampahlah aku dengar kau ni membebel, kalau dah tiap-tiap malam gayut, takkanlah tak jadi pulak’

Malam itu, aku tidak lagi melayan YM yang dicanang sebagai medium pencari jodoh terbaik. Kebanyakan lelaki yang aku jumpa pasti akan meminta webcam yang selalunya ditolak oleh aku, lagipun mereka lebih tertarik untuk berbincang mengenai sex daripada berkenalan. Akhirnya aku sendiri menjadi malas untuk melayan mereka. Persoalan jodoh adalah rahsia Allah memang aku pegang teguh tetapi mengapa masih ada andartu dalam masyarakat, adakah kerana pasangan mereka mati sebelum tiba waktu yang sepatutnya atau mungkin mereka lebih selesa hidup bersendirian daripada hidup berdua. Tiba-tiba, telefon bimbitku berbunyi

`Madi, turun bilik aku sekarang, kau salahlah buat assignment Constitutional Law ni’

Segera aku bergerak menuju ke bilik rakan baikku itu tanpa berlengah, memang beginilah rutin hariku, kalau tidak ke kelas, pasti akan membuat assignment.

Setibanya,

`Sebenarnya assignment kau eloklah Madi, Tapi ni, tadi aku pergi pejabat, Nampak bungkusan nama kau ni, dah seminggu kat situ, huh, kiranya masa hari lahir kaulah kan, kau dapat bungkusan ni, aku bawa balik ni. Cepatlah bukak, aku nak tahu juga apa isinya’

`Hampeh betullah kau ni Yati, penat aku bergegas ke bilik kau, sapelah pulak yang murah hati nak kasi aku bungkusan bagai ni’

Segera bungkusan itu beralih tangan. Aku cepat-cepat mengoyakkan kertas balutan berwarna biru itu, kelihatannya dibalut dengan rapi, aku dapat meneka isinya pasti kain baju dan kotak di tengah. Ternyata tekaan ku salah, bungkusan itu berisi kain telekung dan senaskhah Al-Quran. Fikiran aku bermain dengan teka-teki tentang siapakah pengirim misteri itu, aku menyelak Al-Quran berwarna emas dan terjumpa nota kecil yang bertulis:

Akan ku curi hatimu dengan izin Allah,
Akan ku sayangi hati itu dan akan ku pastikan dalam doaku
Tidak tertinggal memohon kepada Allah
agar hati itu sentiasa dalam keadaan tenang
Dengan sentiasa zikrullah
Bersih dengan ilmu-ilmu Islam
Dibajai dengan Ukhuwah Fillah
dan Disuburi dengan Husnuzon kepada orang lain
Moga hati itu akan menghiasimu
Dengan peribadi Muslimah yang Unggul
Amin
Salam Sayang bersulam Ukhwah
Khas buatmu sahabatku
Syukran Jiddan-Jiddan

Sekali baca aku sendiri pun kurang faham, nasib baiklah rakan Yati yang memanggil aku ke bilik ini pernah mempelajari Bahasa Arab. Dia menerangkan Ukhuwah Fillah bermaksud hubungan dengan Allah, yang biasa dilakukan dengan beribadat dan berdakwah. Manakala Husnuzon bererti bersangka baik sesama manusia. Syukran Jiddan-Jiddan di akhirnya pula bermaksud terima kasih banyak-banyak. Aku terkedu dengan nota kecil yang besar maknanya ini. Aku menangis kerana terharu masih ada insan yang mengharapkan agar aku memperbaiki peribadi aku dan berusaha untuk menjadi muslimah yang unggul. Selama ini, aku mengambil remeh tentang hal-hal agama. Tia-tiba aku teringat kata-kata seorang sahabat

`Some said woman heart is so lost in Allah, that you have to try hard to get it’

Sejak dari hari itu, aku cuba memperbaiki diri sendiri, kerana aku yakin dengan dalil ini

Allah S.W.T berfirman, “Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” (an-Nur':26)

Setelah tiga tahun memperbaiki diri, akhirnya tamat sudah pengajianku di Universiti Malaya ini, usrah yang terakhir pada petang itu membincangkan mengenai kecantikan dan jodoh. Dalam berdakwah secara berhikmah ini, aku menceritakan kepada ahli usrahku mengenai Julaibid .Dia lelaki pendek. Kerdil. Kulitnya hitam legam. Mukanya hodoh. Dirinya miskin. Bahkan hidupnya, sebatang kara. Namun, di akhir kisah hidupnya menyentuh ahli usrahku kerana cintakan Allah, akhirnya dia syahid sebelum sempat bersama isteri yang baru sahaja dinikahi. Di akhir usrah, aku mengingatkan mereka, janganlah mengejar cinta manusia semata tetapi kejarlah cinta Allah kerana InsyaAllah, Allah membimbing kita untuk bertemu dengan jodoh yang diredhaiNya. Sebelum melangkah pergi, aku memeluk setiap dari mereka dan mengingatkan juga untuk sering memelihara diri.

Setianya di rumah pada petang itu, aku berbual dengan ibu di anjung rumah sambil menjamah pisang goreng yang digoreng aku.

`Madi, mak ada benda nak bincang ni, pasal masa depan kau ni’

`Erm, ape cakaplah, mak janganlah risaulah pasal jodoh, Madi malas nak fikir, kalau ada, ada, kalau tak ada, apa salahnya terus menanti’

`Memang pasal itulah yang mak nak cakapkan, Mak Salmah yang anaknya belajar Indonesia tu tanya-tanya pasal kau. Dia kata anak dia yang suruh mak dia tanyakan kau. Mak jawablah tak ada, ke kau dah ada orang ni?’

Tiba-tiba aku terbayangkan telekung yang aku terima tiga tahu lepas, memang sulamannya seperti berasal dari Indonesia, namun aku masih meneka.

`Memang tak adalah, mak. Tapi kalau dia nak kat Madi, boleh tak, kita jumpa dulu, bukan apa, mak, setakat sesi taaruf sahaja’

Kalau nak diikutkan bukanlah aku tidak kenal dengan abang Safwan, ketua Badan Rohani sewaktu sekolah dahulu, wajahnya yang penuh dengan cahaya keimanan pasti membuatkan hati sentiasa tenang apabila mendengar ceramahnya. Tetapi, siapalah aku untuk memulakan perkenalan waktu sekolah dulu, pandai pun bukanlah sangat, apalah lagi alim, jauh sekali.

Akhirnya pertemuan dibuat antara kami

`Madi, dah makan? ‘

`Dah, maaflah yer, kita jumpa kat tempat terbuka ni sebab Madi nak tanya sikit, sekadar meminta kepastian sahaja, bukannya apa. Safwan ke yang bagi Madi hadiah masa hari lahir madi yang ke-21 dahulu, kalau salah jangan marah, Madi sekadar bertanya’.

`Mana Madi tahu ni, memanglah Madi ni teliti orangnya, abang belikan telekung tu khas untuk Madi. Sebenarnya memang dah lama abang perhatikan Madi sejak sekolah dahulu, tapi yelah, dengan jawatan abang waktu sekolah dulu, manalah sesuai nak bercouple, tapi abang pasti jodoh adalah rahsia Allah, sebab tulah abang kata dengan izin Allah, abang akan datang.’

Pertemuan yang dibuat pada malam itu merungkai segala misteri yang tersimpan selama lebih tiga tahun, kini aku pasti dengan janji Allah,

“Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” (an-Nur':26)

Bersedialah untuk berubah sekiranya kita inginkan pasangan hidup yang baik, jodoh pula adalah rahsia Allah, janganlah pernah penat meminta daripadaNya untuk dihadirkan pasangan yang bakal membimbing hidup kita di dunia dan penanti yang setia di syurga. InsyaAllah.

Setelah pertemuan itu, pertunangan diikat antara kami dan debaran menanti gelaran sebagai seorang isteri.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...